April 23, 2008

AZA POPULARKAN KARTUN TANPA DIALOG.



Abdul Razak b. Sofhi @ Subhi (AZA). Beliau dilahirkan di Sanglang, Kedah pada tahun 1966., dan kemudiannya dibesarkan di FELDA Padang Piol, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Beliau mula berkarya sejak zaman persekolahan lagi. ketika itu, kartunnya digemari oleh rakan-rakan hinggakan ada yang meminta beliau melukis pada beg sekolah masing-masing.

Kartun pertama beliau terbit buat pertama kalinya di Majalah Gila-Gila pada tahun 1984. Kehebatan Aza melukis kartun tanpa dialog ini boleh di umpamakan seperti jelmaan Sergio Aragones iaitu salah seorang pelukis kartun mexico yang terkaya di USA. Aza berkarya bersama GILA-GILA hampir 24 tahun. Karya kartunnya sememangnya sangat menghiburkan hati para pembaca .

Antara karya Aza yang cukup popular dan mempopularkan nama beliau ialah Belek Belek, Aza Looks At…, Aza’s Jokes, Fiesta, GG Looks At… dan satu karya hasil Kolaborasi beliau dengan kartunis Ujang iaitu Welcome to Malaysia.

Aza boleh dikatakan juga sebagai Otai dalam menghasilkan kartun tanpa suara. Karya-karya beliau menjadi rujukan kepada pelapis-pelapis baru yang ingin menhasilkan kartun bisu. Aza berjaya menyebabkan pembaca tertawa dengan jenaka bisunya yang cukup bersahaja.

Kini Aza cuba menghasilkan karya berdialognya yang terbarunya di dalam Majalah Gila-Gila iaitu Sesat Di Kuala Lumpur dan mencipta satu lagi sejarah baru dengan karya KOMANNA hasil sentuhan beliau dan rakan lamanya Ujang.kartun Aza juga terdapat di papan tanda Kempen anti Dadah di kawasan Felda.

ZUNAR POPULAR DENGAN HUMOR POLITIK.


Zulkiflee Anwar Haq atau lebih popular dengan nama Zunar merupakan kartunis politik tersohor. Zunar lahir pada 15 Mei 1962. Beliau merupakan anak kelahiran Kedah.

Zunar mula berkarya di Majalah Bambino. Kemudian beliau melukis kartun secara serius dalam majalah humor Gila-Gila sekitar tahun 1986. selain itu, beliau juga sering menghantar kartun untuk akhbar Berita harian, Akhbar-akhbar politik dan laman Web.

Zunar popular dengan karya Gebang Gebang dan Ofis Corner di majalah Gila-Gila. kartun-kartun beliau berjaya menarik perhatian pembaca dan ideanya cukup sinis. Ofis Corner merupakan kartun yang menyindir kakitangan pejabat yang berbagai karenah.

Kini Zunar lebih gemar melukis kartun politik. selain itu, beliau aktif dalam sebarang bengkel kartun dan menjadi penceramah khas kepada bakal-bakal kartunis.

UJANG PERINTIS ANIMASI BERSIRI PERTAMA DI MALAYSIA.



IBRAHIM ANON atau lebih popular dengan nama Ujang berasal dari kg. Juasseh, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Ujang merupakan kartunis generasi kedua di Majalah Gila-Gila. Pembabitan awal Ujang dalam dunia kartun bermula pada awal 80 an. Berbekalkan bakat dan lukisan kartunnya setebal 24 muka surat yang bertajuk ‘ Hikayat Ujang Senang’, beliau bertemu dengan Jaafar Taib di Pejabat Creative Enterprise. Bermula di situ En. Jaafar Taib telah melatih Ujang membuat kartun-kartun satu petak dahulu dan pertama kali telah disiarkan dalam Majalah Gila-Gila pada bilangan 130, keluaran 1 Feb. 1984. Lukisan kartun ‘Hikayat Ujang senang’ telah disimpan untuk diperbaiki semula. Pada tahun 1985 karya tersebut telah disiarkan.

Ujang pernah mengegarkan animasi kartun Malaysia dengan siri Animasi -‘Usop Sontorian’ sekitar tahun 1993-1996. Animasi Usop Sontorian sekaligus telah menjadi perintis kepada animasi bersiri pertama di Malaysia. Animasi Usop Sontorian ini telah diterbitkan oleh Kharisma Pictures dengan menggunakan tenaga animator anak tempatan sepenuhnya. Usop Sontorian yang ditayangkan melalui RTM. Apa yang membanggakan ialah animasi Usop Sontorian ini telah bertahan ulang tayang di TV sehingga tahun 2000. Terbaru 'Usop Sontorian' mendapat tempat di pasaran luar negara. Ianya merupakan satu pencapaian yang baik untuk animasi tempatan.

Ujang pernah menjadi pengarah Syarikat penerbitan dan menerbitkan Majalah Sendiri - UJANG,VARIA LAWAK, LANUN, BULETIN LUBUK dan MALIM PELITA.

Di antara karya beliau ialah Koleksi Ujang, Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian. Selain itu juga dia turut menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir, Fiona. Novel JIBAM akan diadaptasikan ke bentuk filem iaitu ‘JIBAM the Movie.

Ujang merupakan kartunis yang mempunyai pengaruh yang besar dalam arena kartun di Malaysia. Beliau juga banyak melatih dan melahirkan generasi pelapis yang berbakat besar pada hari ini.

Ujang sentiasa mengingatkan kartunis agar memahami undang-undang hakcipta agar karya mereka nanti tidak dimanipulasi pihak lain.

RASYID ASMAWI BERSAMA NOSTALGIA FROM 'TAIPING WITH LOVE'.



Allahyarham Rasyid Asmawi di lahirkan pada 14 November 1957, di Bagan Datuk Perak. Kemudian beliau dibesarkan di Taiping. Cita-cita asal beliau untuk menjadi penulis novel, namun begitu beliau tetap berbangga kerana dapat berkarya dalam bentuk kartun.

Rasyid Asmawi sememangnya kartunis yang berbakat besar dan berpengaruh. Antara Karya sentimental beliau yang mendapat perhatian ramai ialah ‘From Taiping With Love’, terkenang semasa dulu, keluarga cikgu Mat pencen, 4 bujang lapok, 4 kaki ekor dan hikayat jutawan belacan sememangnya sangat evergreen dan dirindui.

-Al- Fatihah buat Allahyarham Rasyid Asmawi.

KERENGGE




Mohamad Hanafiah Ibrahim ataupun lebih di kenali dengan nama KERENGGE lahir pada tahun 1958. Beliau bukan calang-calang kartunis kerana mempunyai kelulusan Graphic And Art Design, ITM. Beliau mula berkarya bersama sebuah Majalah kanak-kanak yang dikelolakan oleh Allahyarham Uncle Sam di Kuantan. Ketika itu beliau baru tamat persekolahan sekolah menengah.
Kemudian beliau menghasilkan kartun 3 segi 4 segi bersama sebuah komik ala Beano dan Dandy terbitan Abu Hassan di Kuala Lumpur.

Kerengge kemudian berkarya bersama majalah Gelihati dan akhirnya ditawarkan masuk ke majalah Gila-Gila. Disinilah beliau berkarya bersama kartunis dan illustrator hebat seperti Azman Yusof, Jaafar Taib, Rejabhad, Tazidi, Rasyid Asmawi, Long, Don dan ramai lagi.

selain itu, beliau pernah juga berkarya bersama Majalah Batu Api yang ditangani oleh Mishar. Kini Kerengge menceburi bidang pendidikan yang bersangkut paut juga dengan seni lukis. Antara karya popular Kerengge ialah 3 segi 4 segi, Dairi Rang Bujang dan banyak lagi.

LONG



Long adalah antara pelukis kartun yang agak lama berkarya, berasal dari Melaka. Jun Hairi, Tih dan Minah Bobo adalah di antara nama pena yang pernah digunakan dalam karya-karyanya dalam tahun pertengahan 1970an - 1980an.
Long mula menyertai Gila-Gila secara rasmi pada tahun 1982. namun begitu beliau sudah pun menyumbangkan kartunnya sejak keluaran pertama majalah Gila-Gila pada 1 April 1978 dengan mengunakan nama samaran Jun Hairi. Long popular dengan karya SPEKTRA sebuah majalah info sains.

Majalah GILA-GILA adalah gelanggang tempat beliau berkartun dengan serious - HANTU ORANG adalah strip kartun strip bulanan. Siri tersebut amat sinis dan diselangi tanggungjawab sosial dan berunsur dakwah. Kemudian beliau diberi tanggungjawab untuk menjadi editor HUMOR sebelum menyertai Batu Api. Beliau kembali ke CESB setelah Batu Api menghentikan penebitannya. Antara koleksi popular beliau ialah kartun English level 122, DELIMMA, TOYOL.

April 16, 2008

TAZIDI


Mohd. Tazidi Yusof (TAZIDI). Beliau dilahirkan pada 9 Jun 1959 di kuala Sayong, Kuala Kangsar Perak.

Tazidi mula berkarya sejak zaman persekolahan lagi. beliau menghasilkan cerita-cerita pahlawan, perang dan menjual kepada rakan-rakannya. ketika di tingkatan 5 (1978-1979) beliau memberanikan diri menghantar kartun ke Majalah Gila-Gila. Pada tahun 1980, Tazidi secara rasmi menjadi kartunis tetap di Majalah Gila-Gila. Pada tahun 1988 beliau berkarya bersama majalah Batu Api dan membuka produksi sendiri untuk kerja luar seperti membuat ilustrasi dan kartun untuk iklan. Tazidi juga trlibat dalam pembikinan animasi iaitu sebagai pereka latar belakang animasi. Beliau turut aktif berkartun dan melukis komik Badang untuk akhbar Mingguan Malaysia(1990).

Kartunnya yang menyerlah ialah Tarzan dalam Gila-Gila. Beliau adalah salah seorang AJK Pekartun. Kini mengambil alih jawatan Presiden PEKARTUN, dan banyak terlibat dengan pameran Asian Cartoons Exhibition.

Tazidi merupakan pelukis yang berpengalaman luas dalam penerbitan dan pengiklanan. Selain itu, beliau aktif berpameran sejak 1980. Beliau juga merupakan barisan kartunis tanah air yang memenangi Anugerah Philip Morris Art Competition dalam kategori pilihan terbaik sekitar tahun 1998.

Kini Tazidi menjawat jawatan sebagai Pengarah Kreatif di Craftmen Of Soliloquy Sdn. Bhd.

MOHAS TAMPILKAN KOMIK PEJUANGAN BANGSA.



Mohamad Hassan (MOHAS), berasal dari Johor. Mohas adalah pelukis komik dan ilustrator dari kumpulan Dewan Bahasa dan Pustaka, penglibatan beliau amat ketara dalam bidang itu dalam era 1970an hingga 1990an.

Komik beliau yang pertama ialah bersama Penerbitan Knight dengan judul 'Pahlawan Kebal'. Komik tersebut adalah genre perang dan temanya ialah berkisah pejuang Palestine membebaskan tanah air dari belenggu musuhnya.

Mohas juga turut melukis komik strip bersiri untuk Utusan Pelajar. Genre dan tema yang digemari beliau ialah cerita peperangan terutama di zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Selain medium Utusan Pelajar, beliau turut menyumbang komik untuk FANTASI. Ilustrasinya turut menghiasi novel-novel terbitan DBP.

ZAHARUDDIN SARBINI KETENGAHKAN KOMIK SEJARAH DAN LAGENDA.




Zaharudin Sarbini merupakan diantara pelukis komik yang telah menghasilkan komik-komik klasik dengan CESB. Pelukis dari kumpulan Utusan Melayu ini adalah diantara pelukis komik yang sentiasa aktif.

Beliau amat dikenali dengan komik sejarah dan lagenda tanah air. Gaya lukisannya yang kemas dan meyakinkan membantu pembaca menghayati jalan cerita yang dipersembahkan dengan berkesan.

Antara karya-karya komik klasik beliau ialah Merong Mahawangsa, Raja Bersiong, Dang Anum, Tun Fatimah dan banyak lagi.

April 15, 2008

FATAH POPULARKAN KARTUN ZAMAN POP YEH YEH.


Abd. Fatah Ngah (Fatah) merupakan kartunis yang popular sekitar akhir 70 an. Fatah berasal dari Paka Terengganu. Beliau mula berkarya sejak tahun 1978. Fatah aktif berpameran sejak tahun 1980.

Fatah juga satu nama yang besar dalam arena kartun di Malaysia. Beliau bukanlah sebarangan kartunis yang mudah dicari ganti. Beliau adalah antara kartunis generasi pertama yang merangsang dan menunjang kebangkitan kartun pada akhir 70 an bersama kelahiran Majalah GILA-GILA. Lakaran yang diwakili garisan-garisan yang halus hasil tarikan stroke yang rapi dan diadun pula oleh sapuan berus yang begitu menyakinkan telah menonjolkan kekuatan kartun-kartunnya. Watak-watak yang dicanai dalam ceritanya adalah begitu hidup dengan loghat bahasa yang bersahaja menjadikan ceritanya begitu realistik.

Kekuatan kartun Fatah juga bukan sahaja dapat dilihat melalui persepsinya yang teliti, malahan perkara-perkara yang kecil sekalipun, yang sering dilupai ditonjolkan dalam kartun-kartunnya. Karya Fatah kebanyakkannya sering menggunakan latar budaya dan sosial masyarakat melayu luar Bandar.

Kartunis tersohor Negara Datuk Lat juga amat mengagumi bakat Fatah, ini terbukti apabila ditanya pendapat beliau mengenai seni kartun di Malaysia, beliau akan menunjuk kepada Fatah.

Bakat Fatah tidak hanya pada kartun, malah jiwanya yang halus itu peka juga terhadap seni muzik. Fatah juga amat berkebolehan mengesek biola. Malahan Manan Ngah juga pernah mendapat pendedahan awal muziknya daripada Fatah.

Antara Karya Popular beliau di Majalah GILA-GILA ialah ‘Lagak A. Mahmud’.

April 14, 2008

AZMAN YUSOF PELUKIS KOMIK DAN ILUSTRATOR TERULUNG MALAYSIA.

KARYA :
Perhentian Geting, Pengkalan Kubur, 1997.
Azman Yusof (b. 1955);Watercolour; 149cm x 95cm.



Azman Yusof, lahir pada tahun 1955 di Kota Bharu, Kelantan. Merupakan salah seorang Pengarah Penerbitan CESB ketika mula ditubuhkan. Beliau juga merupakan salah seorang pelukis komik dan ilustrator ulung di Malaysia. Hasil sentuhannya dapat dilihat dikebanyakkan novel-novel terbitan CESB. Azman Yusof mula menceburkan diri dalam bidang komik melalui Tiada Maaf Bagimu di Syarikat Penerbitan Knight - sekitar 1970 an- sebuah komik format 40 muka surat bersaiz A5.



Azman Yusof mula berkarya bersama-sama dengan Mohas, Nik Nordin, Rizalman sebagai kartunis bebas. Beliau masih lagi aktif melukis dan cukup terkenal dengan media cat minyak, warna air dan akrilik hingga kini.



Sebelum menyertai CESB, beliau terlebih dahulu menjadi ilustrator kepada syarikat Amir Enterprise yang menerbitkan majalah Kisah Cinta, majalah Sarina dan novelet-novelet terbitan syarikat itu. Kebanyakkan hasill karyanya dalam bidang komik disumbangkan kepada majalah Bambino dan Rina (Syarikat Suarasa) buat beberapa tahun sebelum penubuhan CESB.
Ketika bersama majalah GILA-GILA, beliau menyumbang Lipat-Lipat dan poster-poster kalendar menarik seperti pahlawan Melayu 5 Bersaudara.

JAAFAR TAIB BUKTIKAN PELUKIS BOLEH BERJAYA.



Nama sebenar beliau ialah Jaafar Bin Taib. Beliau dilahirkan pada 28 Julai 1952, di Kpg Tanjong Rimau, Alor Gajah, Melaka. Jaafar Taib Merupakan Pengarah urusan syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd, Pelukis/Ilustrator, Kartunis, penulis.

Jaafar Taib merupakan satu nama yang cukup besar dan disegani oleh semua kartunis dulu dan kini. Jaafar Taib memulakan karier di dalam bidang seni lukis lebih dari 25 tahun yang lalu sebagai seorang illustrator, dan pada hari ini beliau telah pun mencapai reputasi yang teguh di dalam dunia penerbitan. Beliau tidak hanya berjaya sebagai seorang kartunis dan ilustrator bahkan telah berjaya mencipta nama sebagai seorang ahli perniagaan yang disegani. Jaafar Taib menjadi penasihat Kehormat bagi Persatuan Penggiat KOMIK Malaysia (PEKOMIK) bersama Datuk Mohd Khalid ( Datuk Lat ) dan Reggie Lee.

Salah satu sumbangan beliau bagi arena kartun di Malaysia yang terbesar kerana telah berjaya menubuhkan dan menerajui syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbitan yang mengumpulkan antara artis-artis dan karyawan seni berbakat dan mahir di tanah air.

Bakat semula jadi Jaafar Taib terserlah melalui berbagai aspek seni lukis, termasuk melalui figura manusia dan haiwan, dan juga hasil-hasil kerja seni yang mengabungkan elemen-elemen kebudayaan.

Antara karya kartun beliau adalah Laugh with Jaafar, Kalau, Jungle Jokes, SIRI cerita-cerita SANG KANCIL dan novel Gelap Menanti Cerah.


DON MENGIMBAU NOSTALGIA INDAH MASA LALU.



Saadon Ishak (DON) merupakan kartunis yang mempunyai karya yang berpengaruh sekitar tahun 70 an. Kartunis Don berasal dari Grik, Perak.
Bagi peminat majalah kartun GILA-GILA pasti tidak pernah lupa gelagat kanak-kanak riang 'Dan Din Don' suatu ketika dahulu. 'Pengembaraan Pendekar Mata Tiga' juga siri kartun beliau yang mendapat sambutan luarbiasa dari pembaca. manakala kartun 'APAK' yang membongkar kisah masyarakat ayam. Membaca karya-karya Don umpama melihat diri sendiri dalam cerminan masa lampau. ada waktu kita akan tercuit dan terasa walau dalam gelak tawa. Dan ada waktunya kita seperti ingin kembali melewati zaman yang telah berlalu.

Sumbangan Don terhadap Dunia kartun tempatan cukup besar dan bernilai. Stroke kartun beliau sangat di kagumi hingga ke hari ini. Ianya terbukti melalui kompilasi ‘APAK’ telah diterbitkan oleh pihak Creative Enterprise sdn bhd telah mendapat sambutan pada pesta buku Antarabangsa 2008. Pihak Creative juga bercadang akan menerbitkan lagi karya kartun Don yang lain agar ianya terus segar di hati pembaca dan menjadi sumber rujukan kartunis hari ini.
Kartunis Don juga terlibat dalam pembinan filem animasi kedua Malaysia, 'Putih'. Beliau kini telah mempunyai ruang melukis karikatur di sebuah pusat membeli-belah bertempat di Bukit Bintang. Pelanggannya terdiri dari pelancong dan pengunjung tempatan pusat membeli-belah tersebut. Lukisan berbentuk karikatur hasil karyanya juga sering menghiasi kain rentang periklanan produk sebagai daya tarikan kepada pengunjung.
(Gambar dan sedikit artikel sumber : Saudara Jonos)

April 13, 2008

ZAINAL BUANG HUSSIEN HEBAT DALAM LUKISAN KARTUN DAN PENULISAN NOVEL.


Pelukis ilustrasi dan kartunis tidak asing lagi, Zainal Buang Hussein (Pak Jenal) , yang juga merupakan bekas Presiden Persekutuan Kartun Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pekartun) merupakan seorang pengkarya yang kreatif. walaupun dalam kesibukan melukis, beliau sempat menghasilkan 10 buah novel dan tiga koleksi buku kartun setelah melibatkan diri dalam penulisan sejak 1988.
Menurutnya, dia minat membaca novel sejak di sekolah menengah kerana sudah mengenali novel karya beberapa penulis seperti Yahya Samah dan Rejab F.I.Beliau mula menulis novel setelah bekerja sebagai pelukis di Syarikat Creative Enterprise pada 1975 hingga 1996. Sepanjang tempoh itu saya menghasilkan 10 novel. Setiap novel yang beliau hasilkan beliau sendiri yang akan melukis kulit depannya. beliau berpendapat dengan cara itu ianya akan memberikan satu kepuasan kepada diri beliau sebagai pelukis dan penulis.
Walaupun Zainal Buang Hussein menulis novel, tetapi dia lebih dikenali khalayak sebagai pelukis kartun kerana bakat beliau sendiri yang sememangnya melukis kartun. Buku kartun lukisan beliau ialah Koleksi (1997), Nostalgia (1998) dan Seleksi (1999) dan KUTU.

Novel tulisan Zainal Buang ialah Debu-Debu Di Kaca (1993), Di Ulit Mimpi, Serakah (1994), Gelombang (1995), Sugar Dady (1995), Kasanova (1996), Cinta Di Perumputan (1997), Kumal (1997), Kekasih Abadi (1997) dan Meniti Gelombang (2006).

Dia juga pernah membuat ilustrasi bagi ruangan cerpen, kulit buku dan majalah terbitan Kumpulan Utusan. Sejak beliau berhenti dari Creative , beliau lebih gemar menulis dan melukis. Hasrat beliau adalah untuk mengadakan pameran lukisan.
*(Sumber: Akhbar Utusan)

ALLAHYARHAM REJABHAD RAJA KARTUN MALAYSIA YANG SUKAR DICARI GANTI.



KOLEKSI KARTUN ALLAHYARHAM REJABHAD YANG SANGAT BERNILAI.


Rejabhad layak di gelar Bapa Kartun Malaysia yang terulung.
Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had.
Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera.

Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.

Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.

Allahyarham Rejabhad meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Kini hanya koleksi kartun Allahyarham Rejabhad menjadi pengubat rindu dan rujukan kartunis yang baru dan lama antaranya ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Kehilangan Raja Kartun ini bukan bermakna tamatnya sebuah Perjuangan dan pergorbanannya. Generasi hari ini harus ada rasa tanggungjawab untuk meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa tanpa membuang identiti, nilai hidup dan budaya masyarakat kita. Biarlah identiti kartun negara kita menjadi ikutan di arena Antarabangsa, bukannya kita yang terlebih mengikut identiti kartun mereka.

Allahyarham Rejabhad pernah berpesan khusus buat semua kartunis Malaysia iaitu
"Kartunis harus lebih berhati-hati dalam mengadaptasi setiap gaya asing, kerana setiap orang tahu bahawa berjayanya sesuatu kartun tertentu adalah tergantung pada penerimaan masyarakat. Kartunis tempatan seharusnya mempromosikan budaya kita sendiri daripada menpromosikan gaya dan budaya asing lain."

-Al-Fatihah buat Allahyarham Rejabhad.-

April 12, 2008

DATO' LAT BUKTIKAN KARTUN MALAYSIA BOLEH KE PERINGKAT ANTARABANGSA!
















Datuk Muhammad Nor Khalid (LAT)























Datuk Mohamad Noor Khalid (Kartunis Lat) 56 tahun, merupakan senior kepada kartunis masa kini yang masih aktif berkarya tanpa mengenal erti jemu. Sehingga hari ini, kartunis Lat telah menghasilkan 26 koleksi karya kartun.
Beliau juga telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Antropologi dan Sosiologi) sebagai pengiktirafan terhadap jasanya menghasilkan seni kreatif dalam bentuk kartun yang disifatkan mempunyai unsur komedi intelek. kartun beliau juga benar-benar memaparkan tentang budaya tempatan.

Paling membanggakan apabila Koleksi kartunnya iaitu ‘kampung Boy’ telah dicetak dalam pelbagai versi bahasa seperti versi bahasa Jepun, Perancis dan Inggeris. Bakat kartunis Lat sememangnya cukup signifikan di kalangan peminat kartun di Malaysia dan Asia. Minat dan bakat melukisnya mula mendapat galakan awal daripada bapanya iaitu dengan membawa balik kertas-kertas terpakai daripada pejabatnya.
Perjalanan seninya sememangnya cukup panjang dan laluan yang beliau tempuhi bukan semudah yang disangkakan. Sejak kecil lagi beliau gemar melukis dan sering duduk memerhatikan setiap benda yang berlaku di sekitarnya. Rakaman mindanya itu telah dipaparkan melalui karya-karya yang dihasilkannya, yang bertujuan menghiburkan dan sekaligus menyampaikan mesej tertentu.
Karya beliau mula mendapat pengiktirafan luar apabila karya beliau mengenai upacara berkhatan disiarkan oleh The Asia Magazine. Kartunis Lat membesar dan mencipta nama daripada hasil kreativitinya yang cukup unik dan menarik. Pemerhatiannya yang cukup tajam merakam kehidupan masyarakat sekeliling dan penggunaan isu-isu semasa melengkapkan lagi karya beliau agar lebih dekat dan terus hidup di hati pembaca. Tarikan utama kartunnya terletak kepada penghayatan watak, dan penggunaan objek tempatan yang berada di sekelilingnya. Beliau melihat cara hidup termasuklah cara makan, adat resam, dan gelagat pelbagai kaum di sekelilingnya bagi setiap karya-karya beliau.

Beliau berpandangan bahawa karya kartunnya perlu menjelaskan tentang budaya tempatan kepada orang luar.Di antara beberapa pengiktirafan yang beliau perolehi ialah :-Animasi ‘Kampung Boy’ memenangi Hadiah Siri TV terbaik dalam kategori Siri TV 13 di Annecy 99, Perancis.Hadiah Fukuoka kebudayaan Asia dalam bidang seni dan kebudayaan di Jepun pada 2002.Pada April 1994 di anugerahkan dengan Darjah Paduka Mahkota Perak oleh Sultan Perak yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Di antara Koleksi kartun beliau yang masih dijual hingga hari ini :-Be serious Lat.Better Lat than never.Budak KampungDr. Who?Kampung boy ; yesterday and today.Keluarga Mamat.Lat ang GangMat SomTown boyLots more Lat ( dan banyak lagi..)

Kesungguhan dan semangat jati diri yang ditunjukkan oleh kartunis Lat inilah yang perlu di contohi oleh setiap kartunis. Kartunis Lat juga telah membuktikan bahawa kartun berwajahkan Malaysia juga boleh diiktiraf dan mendapat tempat di peringkat Antarabangsa.
Di dalam petikan akhbar , kartunis Lat menyatakan bahawa dulu di Pasar Minggu Kampung Baru, terdapat perjumpaan yang sering diadakan golongan kartunis bagi berbincang dan bertukar pendapat tentang karya masing-masing. Ketika itu arwah Rejabhad dianggap sebagai penghulu dan sering menjadi tempat rujukan kepada kartunis muda yang ingin bergiat aktif dalam bidang berkenaan. Manakala hubungan sesama kartunis agak erat serta sering mengambil berat kebajikan sesama sendiri.

Kini semangat seperti itu semakin hilang. Beliau meluahkan rasa terkilan kerana ada kartunis sekarang yang tidak mahu menghadiri majlis yang dianjurkan kartunis lain kerana kepentingan perniagaan. Bagi beliau – “Walaupun dalam perniagaan kita bersaing, bukan bermakna dalam kehidupan seharian kita mengambil sikap yang sama juga”.

MENCARI ASAL USUL.

Sejarah kartun di Malaysia bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Terdapat Dua akhbar yang menyiarkan kartun pada masa itu iaitu WARTA AHAD dan WARTA JENAKA.
Pada Mei 1936 WARTA AHAD edisi pertama telah diterbitkan. Kemudian pada september 1936 WARTA JENAKA pula diterbitkan.

Sejak itu, sejarah kartun Malaysia mula berkembang dan melahirkan ramai kartunis yang hebat seperti Raja Hamzah, K. Bali, Osman Kangkong, Mohd. Sallehuddin, Halim Teh, Yusuf Sharif dan Hashim Awang dan ramai lagi.

Pada tahun 60 an, muncul kartunis daripada Majalah FILEM yang ketika itu ada menyediakan ruangan kartun sebanyak dua halaman. Di situ, lahirlah Rejabhad, Lat, Shukur Lin, Ade, Mohd. Radi Hanif, Shahary, Wahidi dan beberapa nama lain.

WAK DOJER- merupakan karya kartun yang diterbitkan sendiri oleh Allahyarham Hussain Saad mendapat sambutan daripada para pembaca. Pada ketika itu juga beberapa kartunis lain berjaya menerbitkan komik kartun sendiri.

Pada tahun 1974- Majalah HA HU HUM yang diusahakan oleh Raja Kartun Malaysia, Allahyarham Rejabhad muncul di pasaran.

Pada tahun 1978 - kartunis Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Azman Yusuf menerbitkan Majalah Humor Nasional -GILA-GILA. ketika itu Allahyarham Rejabhad dan Alim turut menyumbangkan karya mereka pada edisi sulung Majalah GILA-GILA.
Ketika inilah ledakan kartun berunsur satira mendapat tempat teratas di hati para pembaca.

Pada waktu itu, Dunia kartun Malaysia dihiasi karya-karya yang betul-betul menunjukkan identiti Malaysia yang unik. Stroke kartun yang dihasilkan oleh para kartunis juga mempunyai daya tarikan tersendiri dan berjiwa tempatan.
Ketika itu juga sudah ada komik-komik dari luar, Namun begitu pasaran komik dan majalah kartun tempatan tidak pernah terjejas. Unsur-unsur keunikan budaya, masyarakat, persekitaran dan sosio ekonomi tempatan tidak pernah dilupakan oleh kartunis dalam berkarya. Keaslian kartun kita juga jelas terserlah dan menarik perhatian pihak luar.


Kemunculan majalah GILA-GILA pada 1 April, 1978.

Dengan berpandukan konsep majalah MAD yang sedia popular di pasaran antarabangsa,
GILA-GILA terus meledak di pasaran. Cetakan pertamanya yang berjumlah 10,000 naskah habis dalam masa beberapa hari sahaja. Dalam penerbitan pada bulan-bulan berikutnya, permintaan ke atas GILA-GILA meningkat menjadi berkali ganda.

Kemunculan GILA-GILA jelas membawa dimensi baru bukan sahaja dalam dunia penerbitan tanahair, tetapi juga terhadap industri kartun keseluruhannya.

Walaupun sebelum wujudnya GILA-GILA telah ada majalah-majalah beridentitikan kartun dan komik, namun kebanyakannya tenggelam dalam lambakan majalah-majalah hiburan dan tabloid yang menguasai pasaran pada era itu.

Dengan peningkatan permintaan yang berterusan, Creative Enterprise akhirnya memutuskan untuk menerbitkan GILA-GILA secara dua kali sebulan (bi-monthly) mulai February 1979 dan bermula dari saat itulah, Creative Enterprise bersama GILA-GILANYA tidak menoleh ke belakang lagi.Mengiringi penerbitan GILA-GILA pada awal penghujung 1970-an ialah sebuah lagi majalah yang dikhususkan untuk kanak-kanak iaitu BAMBINO. Majalah yang berpaksikan pendidikan ini turut menjadikan kartun dan komik sebagai sebahagian daripada medium utamanya. Selepas BAMBINO, Creative Enterprise menerbitkan pula majalah HUMOR dan kemudian diikuti oleh FANTASI.

GILA-GILA tidak sekadar diterima sebagai sebahagian daripada bacaan kebanyakan keluarga di Malaysia, malah menjadi rujukan setiap individu yang meminati dunia kartun, baik di kalangan bakal kartunis mahupun di kalangan golongan akademik. Majalah ini juga yang jumlah pengedarannya pernah mencapai 250,000 naskah setiap keluaran turut menjadi pencetus kepada kemunculan pelbagai majalah kartun lain yang berada di pasaran sekarang.

Dengan perkataan lain ia benar-benar menjadi paksi kepada perkembangan dunia kartun di Malaysia. (sumber: cesb.net)

GILA-GILA merupakan satu-satunya majalah kartun yang masih utuh dengan kartun gaya kemelayuan/ keMalaysiaan berbanding majalah kartun lain yang kebanyakkannya sudah taksub dengan gaya asing.