April 23, 2008

UJANG PERINTIS ANIMASI BERSIRI PERTAMA DI MALAYSIA.



IBRAHIM ANON atau lebih popular dengan nama Ujang berasal dari kg. Juasseh, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Ujang merupakan kartunis generasi kedua di Majalah Gila-Gila. Pembabitan awal Ujang dalam dunia kartun bermula pada awal 80 an. Berbekalkan bakat dan lukisan kartunnya setebal 24 muka surat yang bertajuk ‘ Hikayat Ujang Senang’, beliau bertemu dengan Jaafar Taib di Pejabat Creative Enterprise. Bermula di situ En. Jaafar Taib telah melatih Ujang membuat kartun-kartun satu petak dahulu dan pertama kali telah disiarkan dalam Majalah Gila-Gila pada bilangan 130, keluaran 1 Feb. 1984. Lukisan kartun ‘Hikayat Ujang senang’ telah disimpan untuk diperbaiki semula. Pada tahun 1985 karya tersebut telah disiarkan.

Ujang pernah mengegarkan animasi kartun Malaysia dengan siri Animasi -‘Usop Sontorian’ sekitar tahun 1993-1996. Animasi Usop Sontorian sekaligus telah menjadi perintis kepada animasi bersiri pertama di Malaysia. Animasi Usop Sontorian ini telah diterbitkan oleh Kharisma Pictures dengan menggunakan tenaga animator anak tempatan sepenuhnya. Usop Sontorian yang ditayangkan melalui RTM. Apa yang membanggakan ialah animasi Usop Sontorian ini telah bertahan ulang tayang di TV sehingga tahun 2000. Terbaru 'Usop Sontorian' mendapat tempat di pasaran luar negara. Ianya merupakan satu pencapaian yang baik untuk animasi tempatan.

Ujang pernah menjadi pengarah Syarikat penerbitan dan menerbitkan Majalah Sendiri - UJANG,VARIA LAWAK, LANUN, BULETIN LUBUK dan MALIM PELITA.

Di antara karya beliau ialah Koleksi Ujang, Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian. Selain itu juga dia turut menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir, Fiona. Novel JIBAM akan diadaptasikan ke bentuk filem iaitu ‘JIBAM the Movie.

Ujang merupakan kartunis yang mempunyai pengaruh yang besar dalam arena kartun di Malaysia. Beliau juga banyak melatih dan melahirkan generasi pelapis yang berbakat besar pada hari ini.

Ujang sentiasa mengingatkan kartunis agar memahami undang-undang hakcipta agar karya mereka nanti tidak dimanipulasi pihak lain.

No comments: