April 13, 2008

ALLAHYARHAM REJABHAD RAJA KARTUN MALAYSIA YANG SUKAR DICARI GANTI.



KOLEKSI KARTUN ALLAHYARHAM REJABHAD YANG SANGAT BERNILAI.


Rejabhad layak di gelar Bapa Kartun Malaysia yang terulung.
Nama sebenar beliau ialah Jab bin Had.
Beliau lahir pada 23 Ogos 1939 dan berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Kartun pertama beliau pernah tersiar dalam majalah gelanggang filem (terbitan Allahyarham tan Sri P Ramlee) keluaran Julai 1958 (ketika itu berusia 19 tahun). Sebelum beliau bergiat aktif dalam dunia kartunis, Rejabhad sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota tentera.

Menurut beberapa sumber - Rejabhad pernah berkerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menghalau komunis dari kawasan pedalaman sewaktu zaman selepas merdeka. Beliau telah melukis satu kartun ringkas dalam bahasa China lalu dicetak dalam bilangan yang banyak serta diedarkan melalui kapal terbang dengan cara mengugurkan karyanya itu seperti peluru ke kawasan pedalaman untuk dibaca oleh pihak komunis. Kartun itu menceritakan tentang keadaan Tanah Melayu dan keadaan komunis ketika itu. Beliau juga pernah dijemput menemui menteri bersama beberapa rakan kartunis lain di dalam sebuah bilik khas untuk membantu kerajaan membenteras gejala dadah. Dia adalah satu-satunya askar pencen yang pertama dijemput menyertai batalion askar yang masih aktif dalam menjalankan tugas.

Kejujuran dan keikhlasan Rejabhad untuk melihat lebih ramai kartunis lahir bagi mewarnai arena kartun Negara dapat dilihat melalui kesungguhan beliau dalam mendidik kartunis pelapis. Mereka yang pernah mendapat tunjuk ajar dari beliau ialah kartunis tersohor Dato Lat, kartunis Juragan dan boleh dikatakan sebahagian besar kartunis Malaysia (tahun50-an hingga 2000) pernah mendapat tunjuk ajar darinya.

Beliau juga telah mempunyai galeri peribadi di Pulau Pinang. Selain itu, kartunnya yang berjudul ‘Tan Tin Tun’. pernah diminta oleh seorang penerbit untuk difilemkan dan dijadikan satu cerita lawak untuk rancangan bersiri TV. Untuk mengenang jasa dan menghargai perjuangan beliau maka pihak syarikat Creative Enterprise (penerbit Majalah Humor- Gila-Gila ) telah memberi kebebasan untuk berkarya selama mungkin yang beliau mahu.

Allahyarham Rejabhad meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat penyakit jantung. Kehilangan beliau dalam arena kartun tanahair terlalu sukar untuk dicari ganti.

Kini hanya koleksi kartun Allahyarham Rejabhad menjadi pengubat rindu dan rujukan kartunis yang baru dan lama antaranya ialah Perwira Mat Gila (tiga jilid), Tan Tin Tun, Mawar Oh Mawar, Selendang Siti Rogayah, GG Dengan Rejabhad, Prebet Dabus, Senyum sedikit (dua jilid), Pisang emas Jalak Lenteng dan Amal (anak Periwara Mat Gila).

Kehilangan Raja Kartun ini bukan bermakna tamatnya sebuah Perjuangan dan pergorbanannya. Generasi hari ini harus ada rasa tanggungjawab untuk meletakkan martabat kartun di Malaysia setaraf dengan kartun Antarabangsa tanpa membuang identiti, nilai hidup dan budaya masyarakat kita. Biarlah identiti kartun negara kita menjadi ikutan di arena Antarabangsa, bukannya kita yang terlebih mengikut identiti kartun mereka.

Allahyarham Rejabhad pernah berpesan khusus buat semua kartunis Malaysia iaitu
"Kartunis harus lebih berhati-hati dalam mengadaptasi setiap gaya asing, kerana setiap orang tahu bahawa berjayanya sesuatu kartun tertentu adalah tergantung pada penerimaan masyarakat. Kartunis tempatan seharusnya mempromosikan budaya kita sendiri daripada menpromosikan gaya dan budaya asing lain."

-Al-Fatihah buat Allahyarham Rejabhad.-

3 comments:

Abiey69 said...

Al-Fatihah buat beliau..
dimana kan ku cari ganti

Rebana said...

Seorang tokoh kartunis paling berjasa mengcungkil bakat baru untuk terus memeriahkan seni kartun Malaysia.
kehilangannya amat terasa hingga kini.

Mgt Azuam said...

al-fatihah buat beliau yang juga merupakan bapa angkatku kerana beliau tidak mempunyai anak lelaki..