April 15, 2008

FATAH POPULARKAN KARTUN ZAMAN POP YEH YEH.


Abd. Fatah Ngah (Fatah) merupakan kartunis yang popular sekitar akhir 70 an. Fatah berasal dari Paka Terengganu. Beliau mula berkarya sejak tahun 1978. Fatah aktif berpameran sejak tahun 1980.

Fatah juga satu nama yang besar dalam arena kartun di Malaysia. Beliau bukanlah sebarangan kartunis yang mudah dicari ganti. Beliau adalah antara kartunis generasi pertama yang merangsang dan menunjang kebangkitan kartun pada akhir 70 an bersama kelahiran Majalah GILA-GILA. Lakaran yang diwakili garisan-garisan yang halus hasil tarikan stroke yang rapi dan diadun pula oleh sapuan berus yang begitu menyakinkan telah menonjolkan kekuatan kartun-kartunnya. Watak-watak yang dicanai dalam ceritanya adalah begitu hidup dengan loghat bahasa yang bersahaja menjadikan ceritanya begitu realistik.

Kekuatan kartun Fatah juga bukan sahaja dapat dilihat melalui persepsinya yang teliti, malahan perkara-perkara yang kecil sekalipun, yang sering dilupai ditonjolkan dalam kartun-kartunnya. Karya Fatah kebanyakkannya sering menggunakan latar budaya dan sosial masyarakat melayu luar Bandar.

Kartunis tersohor Negara Datuk Lat juga amat mengagumi bakat Fatah, ini terbukti apabila ditanya pendapat beliau mengenai seni kartun di Malaysia, beliau akan menunjuk kepada Fatah.

Bakat Fatah tidak hanya pada kartun, malah jiwanya yang halus itu peka juga terhadap seni muzik. Fatah juga amat berkebolehan mengesek biola. Malahan Manan Ngah juga pernah mendapat pendedahan awal muziknya daripada Fatah.

Antara Karya Popular beliau di Majalah GILA-GILA ialah ‘Lagak A. Mahmud’.

1 comment:

nerve said...

Salam boleh saya tahu, Fatah Ngah masih sihat ? dengar beliau sakit saraf tahun 2011 dulu, sebab sy pernah tgk show amal utk beliau di kraftangan kalau xsilap...bagaimana beliau skrang..