Sejarah kartun di Malaysia bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Terdapat Dua akhbar yang menyiarkan kartun pada masa itu iaitu WARTA AHAD dan WARTA JENAKA.
Pada Mei 1936 WARTA AHAD edisi pertama telah diterbitkan. Kemudian pada september 1936 WARTA JENAKA pula diterbitkan.
Sejak itu, sejarah kartun Malaysia mula berkembang dan melahirkan ramai kartunis yang hebat seperti Raja Hamzah, K. Bali, Osman Kangkong, Mohd. Sallehuddin, Halim Teh, Yusuf Sharif dan Hashim Awang dan ramai lagi.
Pada tahun 60 an, muncul kartunis daripada Majalah FILEM yang ketika itu ada menyediakan ruangan kartun sebanyak dua halaman. Di situ, lahirlah Rejabhad, Lat, Shukur Lin, Ade, Mohd. Radi Hanif, Shahary, Wahidi dan beberapa nama lain.
WAK DOJER- merupakan karya kartun yang diterbitkan sendiri oleh Allahyarham Hussain Saad mendapat sambutan daripada para pembaca. Pada ketika itu juga beberapa kartunis lain berjaya menerbitkan komik kartun sendiri.
Pada tahun 1974- Majalah HA HU HUM yang diusahakan oleh Raja Kartun Malaysia, Allahyarham Rejabhad muncul di pasaran.
Pada tahun 1978 - kartunis Mishar, Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein dan Azman Yusuf menerbitkan Majalah Humor Nasional -GILA-GILA. ketika itu Allahyarham Rejabhad dan Alim turut menyumbangkan karya mereka pada edisi sulung Majalah GILA-GILA.
Ketika inilah ledakan kartun berunsur satira mendapat tempat teratas di hati para pembaca.
Pada waktu itu, Dunia kartun Malaysia dihiasi karya-karya yang betul-betul menunjukkan identiti Malaysia yang unik. Stroke kartun yang dihasilkan oleh para kartunis juga mempunyai daya tarikan tersendiri dan berjiwa tempatan.
Ketika itu juga sudah ada komik-komik dari luar, Namun begitu pasaran komik dan majalah kartun tempatan tidak pernah terjejas. Unsur-unsur keunikan budaya, masyarakat, persekitaran dan sosio ekonomi tempatan tidak pernah dilupakan oleh kartunis dalam berkarya. Keaslian kartun kita juga jelas terserlah dan menarik perhatian pihak luar.
Kemunculan majalah GILA-GILA pada 1 April, 1978.Dengan berpandukan konsep majalah MAD yang sedia popular di pasaran antarabangsa,
GILA-GILA terus meledak di pasaran. Cetakan pertamanya yang berjumlah 10,000 naskah habis dalam masa beberapa hari sahaja. Dalam penerbitan pada bulan-bulan berikutnya, permintaan ke atas GILA-GILA meningkat menjadi berkali ganda.
Kemunculan GILA-GILA jelas membawa dimensi baru bukan sahaja dalam dunia penerbitan tanahair, tetapi juga terhadap industri kartun keseluruhannya.
Walaupun sebelum wujudnya GILA-GILA telah ada majalah-majalah beridentitikan kartun dan komik, namun kebanyakannya tenggelam dalam lambakan majalah-majalah hiburan dan tabloid yang menguasai pasaran pada era itu.
Dengan peningkatan permintaan yang berterusan, Creative Enterprise akhirnya memutuskan untuk menerbitkan GILA-GILA secara dua kali sebulan (bi-monthly) mulai February 1979 dan bermula dari saat itulah, Creative Enterprise bersama GILA-GILANYA tidak menoleh ke belakang lagi.Mengiringi penerbitan GILA-GILA pada awal penghujung 1970-an ialah sebuah lagi majalah yang dikhususkan untuk kanak-kanak iaitu BAMBINO. Majalah yang berpaksikan pendidikan ini turut menjadikan kartun dan komik sebagai sebahagian daripada medium utamanya. Selepas BAMBINO, Creative Enterprise menerbitkan pula majalah HUMOR dan kemudian diikuti oleh FANTASI.
GILA-GILA tidak sekadar diterima sebagai sebahagian daripada bacaan kebanyakan keluarga di Malaysia, malah menjadi rujukan setiap individu yang meminati dunia kartun, baik di kalangan bakal kartunis mahupun di kalangan golongan akademik. Majalah ini juga yang jumlah pengedarannya pernah mencapai 250,000 naskah setiap keluaran turut menjadi pencetus kepada kemunculan pelbagai majalah kartun lain yang berada di pasaran sekarang.
Dengan perkataan lain ia benar-benar menjadi paksi kepada perkembangan dunia kartun di Malaysia. (sumber: cesb.net)
GILA-GILA merupakan satu-satunya majalah kartun yang masih utuh dengan kartun gaya kemelayuan/ keMalaysiaan berbanding majalah kartun lain yang kebanyakkannya sudah taksub dengan gaya asing.